Friday, October 15, 2010

Muzik Untuk Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Muzik merupakan satu elemen yang boleh diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui penyerapan elemen muzik, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menyeronokkan. Penggunaan muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh digunapakai untuk pelbagai subjek. Contohnya subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, dan sebagainya. Setiap unsur muzik yang diserapkan perlu mempunyai hubungkait dengan subjek yang diajar.
Penerapan unsur muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran memang memberi kesan yang positif. Melalui kaedah penerapan unsur muzik, murid akan lebih terdorong untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan muzik yang bersesuaian dengan suasana dan mood kelas amat penting bagi menghilangkan kebosanan dalam kalangan murid. Muzik terdiri dari susunan irama dan melodi yang boleh mendamaikan jiwa dan sesetengah muzik mampu menaikkan semangat pendengar. Muzik instrumental iaitu susunan melodi tanpa vokal yang lebih bersifat sentimental mampu untuk memberikan ketenangan kepada murid dan sesuai digunakan ketika sesi membaca.
Selain itu, terdapat juga sesetengah lagu yang mempunyai unsur-unsur pendidikan seperti lagu Anak Ayam dan Sepuluh Budak Hitam yang berunsurkan Matematik dan lagu Bangau Oh Bangau yang mengandungi unsur-unsur Sains. Selain itu, guru juga boleh menggubah lirik yang berunsurkan subjek yang diajar dan dipadankan dengan melodi yang sesuai untuk proses pengajaran dan pmbelajaran. Hal ini akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu lebih menarik.
Penerapan unsur muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu langkah yang baik dan wajar dilakukan oleh guru untuk mewujudkan satu kaedah mendidik yang lebih menyeronokkan. Langkah ini dapat menarik minat murid untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik.

No comments:

Post a Comment